Friday, 29 May 2015

Menghirup Udara Segar Pantai Tok Bali, Kelantan


  • Misteri Pantai Tok Bali, Kelantan. 
Pantai Tok Bali, Kelantan sebuah destinasi menarik untuk dikunjungi. Sehingga kini, masih ramai yang tidak mengetahui asal usul nama Tok Bali, Kelantan. Pelbagai versi cerita yang timbul mengenai asal usul nama kawasan yang terkenal dengan pesisir pantai yang cantik dan kawasan perikanan ini. Kononnya, ia berasal dari pokok bali, limau bali dan juga Bali, Indonesia. Namun, kisah yang sering menjadi buah mulut masyarakat setempat adalah kisahnya yang bersempena dengan seorang nelayan berasal dari Bali, Indonesia yang memasuki perairan pantai Kelantan dengan perahu. Perahunya karam dan dijumpai terdampar di persisiran pantai. Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran menemui nelayan malang itu dan mempelawanya untuk tinggal di situ. Nelayan itu tinggal di situ selama beberapa tahun sebelum kembali semula ke Bali, Indonesia.

Maka, dari situlah kawasan tersebut diberi nama Tok Bali, yang merujuk kepada nelayan dari Bali, Indonesia. Kisah ini difahamkan berlaku pada beberapa abad yang lalu. Kesahihan kisah ini masih diselubungi misteri.


  • Tok Bali?
Tok Bali terkenal dengan terminal pendaratan ikan segar hasil tangkapan nelayan tempatan. Sebut sahaja ikan Tok Bali, ramai warga Kelantan yang mengakui kesegaran ikan yang ditangkap nelayan tempatan. Pasar basah Tok Bali atau dikenali pasar TIBA (Terminal Ikan Bali) sering menjadi tumpuan bagi mendapatkan hasil laut yang segar seperti ikan, udang dan sotong.



Pemandangan di bawah jambatan Tok Bali



Tok Bali Bay - Bangunan berhampiran pasar



Pasar Ikan Segar di Tok Bali – tempat ikan didaratkan oleh nelayan tempatan


  • Keistimewaan untuk si kaki pancing.
Bagi kaki pancing tegar, bolehlah menaiki bot sewa atau persendirian untuk memancing di tengah laut. Malah, ada juga yang turun memancing dengan ‘speed boat’ di perairan Tok Bali dan di kawasan muara sungai bersebelahan jambatan Tok Bali. Berkelah sambil memancing bersama keluarga. Sungguh mengujakan. Bagi yang pernah merasai pengalaman memancing di Tok Bali pasti tidak sabar ingin berkunjung semula ke Tok Bali.

Selain kawasan perikanan, tumpuan utama Tok Bali sudah tentulah destinasi pelancongan yang menarik. Antara landmark utama ialah replika kapal serta jambatan melengkung kira-kira 300 meter panjang dan tinggi 100 meter bagi membolehkan bot nelayan melaluinya. Di kawasan pesisir pantai sepanjang kuala sungai itu juga merupakan lokasi sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Pesisir pantai yang cantik disaluti pasir yang putih serta landai semestinya menarik pengunjung untuk bercuti merehatkan minda.


Replika Bot Nelayan di Tok Bali


  • Inginkan tempat penginapan?
Jika anda ingin bercuti di Tok Bali, terdapat resort popular bertaraf empat bintang, iaitu Tok Aman Beach Resort yang semestinya memberi ketenangan dan keseronokan apabila berkunjung ke Tok Bali Kelantan. Selain Tok Aman, terdapat beberapa lagi chalet persendirian yang terdapat di kawasan berhampiran. Antaranya Dee Wana Resort dan Bali Beach Village Resort. Namun, jika anda ingin menginap di luar kawasan Tok Bali, terdapat juga resort lain yang tidak kurang hebatnya seperti Sudara Resort, Permai Chalet, Seri Nipah dan juga Villa Danialla yang terletak di jalan Pantai Melawi-Tok Bali. Resort-resort ini semua berada di pesisir pantai mengadap Laut Cina Selatan.

  


Suasana di Tok Aman Bali Beach Resort

  • Penat berjalan, perut minta diisi?
Dengan adanya pelbagai resort pilihan, tidak lengkap jika tiada restoran kegemaran ramai di kawasan berhampiran untuk dikunjungi. Terdapat beberapa restoran di tepi jalan yang dibuka bermula waktu petang sehingga lewat malam. Suasana malam juga lebih meriah di waktu musim cuti sekolah. Alemy Maggi Ketam serta Juara Ikan Bakar Tok Bali adalah dua restoran yang agak terkenal yang menjadi tumpuan pelancong domestik mahupun penduduk setempat.


 

Maggi Ketam Alemy yang menjadi kegilaan ramai


  • Nak pergi? Ini lokasinya
  1. Dari Kota Bharu Kelantan – Perjalanan dari bandar Kota Bharu ke Tok Bali mengambil masa 45 minit pemanduan dengan jarak 45 km melalui Bachok atau Pasir Puteh.
  2. Dari Kuala Besut Terengganu – Jika anda dari Terengganu, boleh menuju ke Kuala Besut yang juga merupakan pintu masuk ke Pulau Perhentian. Dari Kuala Besut boleh terus menuju ke Tok Bali yang jarak hanya 12 km.

  • Nak lagi senang? Ini petanya



Lakaran peta Tok Bali dari Resort Tok Aman


                     https://www.youtube.com/channel/UCxUGkMW4vWmR1wYtpjUTZiA

No comments:

Post a Comment